Dalam entry "Air Pollution Expert" saya ada ceritakan tentang seorang profesor yang mengajar saya semester ini. Suatu pagi selepas tamat kuliah, saya datang bertanya tentang hal kuliah (tapi saya tak dapat mengingat apa isi pertanyaan). Di sisi beliau ada textbook yang digunakan bagi kursus ini. Buku milik beliau sendiri. Sebenarnya saya telah pun dapat meminjam dari Cooper Library, edisi ke-2. Yang terkini mungkin edisi ke-4. Tak semena-mena, beliau menawarkan buku itu kepada saya, untuk digunakan sepanjang semester. Tanpa berfikir panjang saya menerimanya, walaupun semacam mamai tatkala profesor menyerahkannya.
Sambil melangkah pulang, saya membelek buku tersebut, oh, edisi ke-3. Memandangkan edisi yang saya ada waktu itu 2nd edition, dan buku itu terhad di perpustakaan, saya mengambil langkah memulangkan buku yang saya pinjam supaya pelajar lain dapat menggunakannya. Saya? Saya boleh gunakan buku profesor itu. Buku tersebut memang saya manfaatkan, walaupun tidaklah terlalu kerap, namun buku tersebut semacam memotivasi. Buku tersebut sudah pun diconteng pensil oleh profesor tersebut, terdapat tanda komen dan nota di sana sini. Wah, teliti benar profesor ini, hatta rujukan akhir chapter pun semuanya bertanda menandakan setiap rujukan tambahan semuanya sudah dirujuk, pada tanggapan saya.
Jumaat lepas saya menghantar emel bertanya soalan, beliau bertanya lokasi saya, mungkin beliau lebih senang memberi penerangan berdepan. Jadi saya pun bergerak ke jabatan. Setelah berbual tentang hal pelajaran, beliau bercakap tentang buku yang dipinjamkan tersebut. Pada mulanya saya fikir beliau benarkan saya menggunakan buku itu sehingga akhir exam. Namun tidak, ini jawapan balas emel beliau, lanjutan daripada emel saya pagi tadi memaklumkannya saya memilih untuk memulangkannya setelah selesai peperiksaan akhir.
You may keep the book forever. It is old and the 5th edition will be out by next year. I don't need to keep it.
Rasa gembira tiba2. Alhamdulillah, ada juga orang nak sedekah buku. Hehe, saya bukanlah pelajar terbaik kelas beliau, itu saya pasti, markah saya banyak hilang akibat careless mistakes. Haihlah.. entah bila nak skor pun taktau lah. Erm, dan saya juga bukan juga pelajar yang suka bertanya dalam sesi kuliah. Saya lebih selesa bertanya selepas kelas, dan mengirim emel. Soalan yang saya emelkan tak sekadar terhad untuk material kuliah, tapi lebih dari itu. Saya fikir bertanya itu hak pelajar, dan guru yang baik pastinya berlapang dada menerima soalan. Semester lepas saya mengambil kursus beliau yang lebih sukar dari semester ini. Sesat dalam lautan ilmu itu berlaku bukan sekali dua. Saya pernah nyatakan dalam emel, meminta maaf kerana seringkali berasa ketinggalan. Ini jawapan beliau.
You are doing the correct thing - ask questions!
Maka sedari itu, banyak la soalan yang terlintas di kepala ini saya tumpahkan dalam kiriman emel. Beliau adalah insan pertama memberi saya keyakinan supaya tidak takut bertanya, tapi bukanlah beliau seorang, penyelia akademik dan profesor Kimia saya juga sedemikian! Indahnya hidup sebagai pelajar. :)


